Home2023Jin Wei lanjut kontrak tajaan bersama Li-Ning

Jin Wei lanjut kontrak tajaan bersama Li-Ning

Pemain badminton profesional negara Goh Jin Wei mendapat tonik terbaik dalam pemburuan tiket ke temasya sukan Olimpik Paris 2024 setelah melanjutkan kontrak penajaannya bersama Li-Ning Malaysia sehingga penghujung tahun depan.

Jin Wei, 23, mula menjadi duta Li-Ning pada tahun lalu selepas meninggalkan skuad kebangsaan untuk memulakan karier profesionalnya.

Ternyata, langkah Li-Ning Malaysia dan Sunlight Group untuk menaja juara remaja dunia dua kali itu adalah tepat sekali apabila dia beraksi cemerlang sepanjang tempoh 12 bulan yang lalu.

Jin Wei, yang sebelum ini bergelut dengan masalah masalah sembelit kronik yang memerlukan pembedahan usus pada 2019, telah melakar kebangkitan yang mengkagumkan dengan meraih gelaran naib juara Terbuka Vietnam dan mara ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Itali.

Dia juga mencatat enam penampilan suku akhir termasuk aksi mantapnya mengheret jaguh India P.V. Sindhu ke set penentuan sebelum tumpas 21-19, 14-21, 18-21 di Sukan Komanwel Birmingham.

Persembahan konsisten sepanjang musim 2022 itu membolehkannya melonjakkan dari tangga ke-128 pada April lalu ke kelompok 32 terbaik dalam ranking dunia BWF, sekaligus memberikan akses penuh ke semua pertandingan Jelajah BWF.

Jin Wei, yang kini menghuni ranking ke 31 dunia, berterima kasih kepada Li-Ning kerana terus meletakkan kepercayaan terhadapnya dengan lanjutan kontrak penajaan tersebut dan bertekad akan membalasnya dengan melayakkan diri ke Paris 2024.

Di atas kertas, Jin Wei jelas mempunyai kelebihan untuk lolos selaku pemain perseorangan wanita negara.

“Lanjutan kontrak ini memang datang tepat pada masanya kerana saingan kelayakkan ‘Race to Paris’ akan bermula pada Mei. Berbekalkan sokongan padu Li-Ning, maka saya bolehlah menumpukan perhatian sepenuhnya kepada misi saya untuk layak ke Olimpik tanpa perlu gusar mengenai hal berkaitan kewangan,” kata Jin Wei.

“Saya memang amat terhutang budi dengan Li-Ning dan Sunlight Sports. Walaupun saya perlu bermula semula dari bawah, syarikat ini tetap sanggup menaja saya.

“Dalam setahun ini, saya dapat juga memperbaiki kedudukan ranking saya sehinggakan saya kini boleh bermain dalam kejohanan bertaraf Super 750 dan ke atas. Jadi, cabaran seterusnya adalah menajamkan mutu permainan saya dan mudah-mudahan dapat merapatkan jurang dengan pemain-pemain terbaik dunia.

“Paling mustahak, saya harap boleh kekal sihat dan bebas kecederaan.”

Sementara itu, Li-Ning turut mengalu-alukan penyertaan tiga rekrut terbaharunya iaitu pemain beregu bebas Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong serta jurulatih Rosman Razak ke keluarganya.

Hang Yee-Eng Cheong pernah bergabung ketika berada di skuad kebangsaan dan muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Malaysia dan Cabaran Antarabangsa Laos pada 2019.

Rosman pula baru pulang ke tanah air baru-baru ini selepas mengendalikan pasukan kebangsaan Filipina. Dia menggantikan Chin Eei Hui untuk melatih sekumpulan pemain beregu profesional termasuk beregu nombor lapan dunia Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang juga merupakan atlet naungan Li-Ning.

Ketua Pemasaran Jenama Sunlight Group (agen kepada Li-Ning di Asia Tenggara) Teah Yann Ling mengharapkan penajaan Li-Ning, sama ada menerusi lanjutan mahupun kontrak yang baharu, akan membantu pemain-pemain dan jurulatih untuk memperkembangkan karier dan merealisasikan impian masing-masing.

“Keputusan untuk melanjutkan kontrak Jin Wei adalah mudah untuk kami. Dia telah banyak berusaha dan berjaya bangkit dalam tempoh yang begitu singkat. Matlamat dia seterusnya adalah untuk layak ke Olimpik dan sudah pasti kami mahu terus menyokongnya,” kata Yann Ling.

“Bagi Hang Yee-Eng Cheong pula, kami juga terpanggil untuk menghulurkan sokongan kepada mereka. Selepas meninggalkan skuad kebangsaan, mereka perlukan satu platform untuk bermula. Di Li-Ning, kami berpegang pada prinsip bahawa “Anything is Possible”.

“Kami juga sedar betapa pentingnya kelibat jurulatih dalam peranan mereka untuk membimbing pemain-pemain agar mereka terus kekal pada landasan yang tepat. Jadi, kami membawa masuk Rosman yang sememangnya calon terbaik untuk menggantikan Eei Hui.”

Keluarga besar Li-Ning juga terdiri daripada bekas bekas pemain kebangsaan iaitu Tan Boon Heong, Goh Liu Ying dan Woon Khe Wei.

RELATED ARTICLES

Most Popular